01
Geologi
01
Geologi
WARISAN GEOLOGI
LABUAN
Geologi kepulauan Labuan merupakan sambungan daripada formasi-formasi yang terdapat bahagian barat negeri Sabah, negara Brunei Darussalam dan bahagian utara Sarawak (Liechti et al., 1960). Labuan dibentuk oleh tiga unit batuan, terdiri keseluruhannya daripada batuan sedimen dan aluvium. Unit-unit batuan tersebut dari yang tertua kepada termuda adalah Formasi Temburung, Formasi Crocker Barat dan Formasi Belait yang terlipat membentuk satu antiklin besar, tidak simetri yang menjunam ke arah timurlaut
​
Sejarah geologi Labuan bermula dengan pemendapan lebih 12 km sedimen laut dalam di dalam lembangan barat laut Sabah pada masa Oligosen (30 juta tahun) hingga ke masa Miosen Tengah (sekitar 20 juta tahun lampau). Jujukan sedimen yang dimendapkan membentuk unit batuan yang dikenali sebagai Formasi Crocker Barat dan Formasi Temburung.
Pada masa Miosen Tengah berlaku pengangkatan akibat proses subduksi oleh kepingan kerak Laut China Selatan kuno yang menyusup ke bawah di bahagian barat laut pulau Borneo (Mazlan 1994), menyebabkan sekitaran laut dalam beransur-ansur berubah menjadi lebih cetek. Akhirnya wujud sekitaran pesisir di sepanjang barat laut
Sabah dan Brunei termasuk Labuan dengan pembentukan muka pantai dan delta yang meluas. Berbagai subsekitaran perantaraan yang terdiri daripada paya bakau, estuari, dataran delta, dataran banjir dan
alur sungai telah wujud dan mengumpul berbagai jenis sedimen.
Sebahagian daripadanya mengumpul bahan sisa tumbuhan yang banyak dan bertukar menjadi batu arang. Sebahagian lagi menjadi tempat pengumpulan sedimen berkerikil dan berpasir yang menjadi batuan
penakung hidrokarbon. Keseluruhan endapan laut cetek hingga daratan pesisir tersebut
membentuk jujukan Formasi Belait.
​
Zaman Miosen Akhir hingga Pliosen yang menyaksikan pengakhiran proses subduksi yang melipat keseluruhan jujukan batuan dan membentuk lipatan antiklin yang besar. Perlipatan berkala mengangkat lapisan batuan ke
atas berlaku secara serentak dengan pemaraan delta dan pembentukan sesar graviti (Morley et al, 2002).
​
Geotapak
LIDAH PASIR PULAU KURAMAN
Pulau Kuraman
Lidah pasir terbentuk apabila terdapat arus susur pantai yang membawa beban sedimen berpasir. Sedimen pasir tersebut akan dimendapkan di bahagian hujung pantai atau pulau membentuk beting atau permatang memanjang dan bengkok di bahagian hujungnya akibat tindakan angin dan ombak
35 Juta Tahun
BATU PASIR BELAIT TJG. KUBONG
Pantai Tjg. Kubong
Batuan-batuan yang terbentuk di geotapak ini ditafsirkan sebagai enapan sungai berburai yang telah berlaku pada 15 juta tahun dahulu dan merupakan jujukan bawah Formasi Belait. Singkapan batuan di sini sangat segar dan sempurna serta mempamerkan lapisan-lapisan batu pasir tebal yang berkedudukan hampir mendatar.
15 juta tahun
BATUAN PENAKUNG MINYAK GANGGARAK
Kg. Ganggarak
Di sini boleh diperhatikan kewujudan dedahan batuan penakung minyak (reservoir) yang masih mengandung kesan takungan serta bau minyak yang tertiris keluar.Di sini satu-satunya lokaliti kita boleh melihat dan menyentuh batuan penakung minyak yang lazimnya pada masa ini wujud beberapa ribuan kaki di dasar laut sekitar Labuan.
15 juta tahun
LAPISAN SILANG, TJG. LAYANG-LAYANGAN
Pantai Tjg. Layang-layangan
Tapak ini kaya dengan struktur-struktur geologi yang berkualiti tinggi dan terdedah pada permukaan batuan yang sangat segar. Kewujudan lapisan silang berskala mega enapan dengan kelikir batu arang yang membentuk lapisan silangnya adalah sangat unik dan tidak dijumpai di tempat lain di Malaysia
15 juta tahun
LANSKAP HAKISAN PANTAI TJG. LAYANG-LAYANGAN
Pantai Tjg. Layang-layangan
Garis pantai di sini dicirikan oleh dataran pasang surut yang sangat lebar. Semasa air surut, akan terdedah berbagai jenis struktur riak arus dan gelombang di atas dataran pasang surut serta singkapan lapisan batuan Formasi Belait yang mengunjur ke laut hingga ke Pulau Ular dan ini mempamerkan jaluran jurus lapisan yang unik
15 juta tahun
ENAPAN LAUT CETEK TJG. BATU
Pantai Tjg. Batu
Di sini boleh dilihat lapisan batuan yang berlapis tebal menunjukkan isian palung-palung sungai yang dipengaruhi oleh air pasang dan surut. Disamping itu terdapat banyak fosil surih hidupan laut cetek yang membentuk korekan menegak seperti Ophiomorpha isp., Teichichnus isp.dan lain-lain
TAFONI TJG. BATU
Pantai Tjg. Batu
Bentuk tafoni yang sangat jelas dan sempurna ini menimbulkan tanda tanya serta tarikan kepada pengunjung tentang pembentukannya. Struktur tafoni begini lazimnya terbentuk pada permukaan batu di tepi pantai yang terdedah kepada semburan air garam dari laut. Air bergaram yang terkumpul pada permukaan batuan akan meresap memasuki batuan.
LANDSKAP PANTAI TJG. KUBONG
Pantai Tjg. Kubong
Geotapak ini mempamerkan garis pantai berbatu sangat indah dan unik dengan kehadiran kepelbagaian landskap garis pantai yang tinggi dibentuk oleh pantai berpasir berselang seli dengan pantai berbatu. Di beberapa lokaliti boleh diperhatikan pembentukan gua laut dan gerbang laut.
PULAU RUSUKAN BESAR
Pulau Rusukan Besar
Kekar adalah patahan lurus di dalam batuan yang tidak menunjukkan pergerakan, manakala sesar pula adalah patahan yang menunjukkan pergerakan pada jasad batuan.
Dataran hakisan lautnya mempamerkan struktur kekar kotak dan sesar yang sangat unik.
Kekar begini adalah menifestasi kepada proses tektonik yang aktif berlaku di bahagian barat Borneo pada masa lampau
BEKAS LOMBONG LUBOK TEMIANG
Kg. Lubok Temiang
Labuan pada abad ke-19 merupakan antara satu pusat perlombongan batu arang yang pertama di Asia Tenggara. Bukti-bukti peninggalan aktiviti ini masih boleh dilihat dengan adanya struktur-struktur aktiviti perlombongan seperti terowong, lohong dan adit terutama sekali di kawasan utara pulau tersebut.
15 juta tahun
BATUAN SEDIMEN TEMBURONG BEBULOH DARAT
Kg. Bebuloh Darat
Di geotapak ini boleh diperhatikan batuan sedimen endapan laut yang sangat dalam mungkin melebihi 2000 meter kedalaman yang diwakili oleh susunan lapisan batu lumpur merah hingga kelabu gelap ditindih oleh selang lapis antara batu lodak hingga batu pasir kasar yang berketebalan sederhana
Geotapak ini juga mempamerkan banyak fosil surih iaitu kesan aktiviti organisma yang hidup di dasar laut dalam sekitar 30 juta tahun lampau. Kewujudan kepelbagaian fosil surih berawetan sangat baik serta jujukan lapisan batuan turbidit enapan laut dalam yang sangat sempurna menjadikan tapak ini bernilai warisan saintifik yang sangat tinggi
35 juta tahun
FOSIL SURIH LAUT DALAM TJG. PUNEI
Tjg. Punei
Tapak ini mempunyai banyak fosil surih jenis Paleodictyon isp. yang lazimnya dikaitkan dengan aktiviti penghasilan sumber makanan (Agrichnia). Selain itu, lapisan batuan ini juga terdedah dengan baik membentuk pentas hakisan di sepanjang pantai di Tg. Punei
15 juta tahun
PERMATANG JURUS LABUAN
e.g. Bukit Merinding
Pengangkatan dan proses tektonik yang berlaku semenjak sekitar 12 juta tahun dan berakhir pada 3 juta tahun lampau telah mengangkat Labuan perlahan-lahan dari dasar laut dan melipatkan lapisan-lapisan batuan sedimen di atasnya membentuk pulau dan bukit.
Klik